Thứ Năm, 16 tháng 2, 2012

Karya Tempatan, Filem ‘Songlap’ Bakal Ke Festival Filem Antarabangsa!

Kutipan penuh filem ‘Songlap’ ketika ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia tidak bermaksud filem ini tidak mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Walaupun hanya mengutip hampir RM2.13 juta secara keseluruhannya, namun kualiti dan mesej tersirat didalam filem tersebut antara sebab filem ini tercalon ke festival filem di Itali dan juga Los Angeles, US.

Filem ‘Songlap’ akan diberi slot tayangan di Udine FEFF ke-14 yang akan berlangsung dari 20 hingga 28 April 2012. Antara filem-filem Malaysia yang sebelum ini mendapat perhatian Udine FEFF termasuklah Pontianak Harum Sundal Malam, Kala Malam Bulan Mengambang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Tidak cukup dengan itu, bulan seterusnya pula ‘Songlap’ akan mengambil bahagian dalam LA APFF ke-28 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 20 Mei. Kali terakhir karya anak tempatan ditayangkan di festival filem yang berprestij ini adalah pada tahun 2008 iaitu Flower in the Pocket, arahan Liew Seng Tat.

Untuk pengetahuan, filem ‘Songlap’ diterbitkan bersama oleh Grand Brilliance dan Red Films, dan diarahkan oleh gandingan suami-isteri, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak. ‘Songlap’ mendalami kisah kehidupan dua beradik, lakonan Shaheizy Sam, Shafie Naswip dan Sara Ali, yang terjerat di dalam kancah sindiket pemerdagangan manusia. Filem ini telah ditayangkan pada 15 Disember 2011 di 77 buah pawagam dan mendapat sambutan yang amat baik dari peminat filem serta pihak media, dan diiktiraf sebagai filem terbaik Malaysia 2011.

Mari kita semua menyokong industri seni tanahair!

Kredit Gambar : Ieja Photography


Link to full article

Không có nhận xét nào:

Đăng nhận xét